KISAH HIDUP DAN PESAN AYAH.
Assalamualaikum para blogger dan warga internet.
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk membaca post saya kali ini. Setelah sekian lama saya tidak update di blog saya sendiri kerana sibuk bermain facebook twitter instagram serta laman sosial yang lain sehingga blog dilupakan. Dan tidak lupa dengan kesibukan saya menuntut ilmu di kampus KPTM, dimana tempat saya belajar sekarang ini. Kali ini saya ingin menceritakan kisah hidup saya secara ringkas dan sekali imbas hanya untuk berkongsi dengan para pembaca tentang apa yang terjadi dalam hidup saya.
Ibu bapa saya berasal dari seberang sana, negara Indonesia. Mereka lahir disana, tumpah darah mereka di atas bumi Indonesia. Faktor keluarga yang sangat daif dan miskin dan sifat masing-masing yang berani mencuba nasib yang membuatkan mereka merantau ke Malaysia mencari rezeki. Alhamdulillah kedua-duanya diijabkabulkan di tanah bumi Malaysia secara halal; tahun 1989.
Ayah bersusah payah menempuh kesukaran hidup di Malaysia mencari rezeki demi isteri tercinta yang berada di rumah. Tahun demi tahun kerja demi kerja mereka lakukan akhirnya lahirlah anak mereka yang pertama pada tahun 1990. Waktu itu mereka menetap di Petaling Jaya, Selangor.
Nak dimulakan cerita, ketika anak itu masih bayi, ibu kepada bayi tersebut terpaksa menempuh pengalaman pahit dalam hidup beliau. Disebabkan ibu datang ke Malaysia secara tidak sah, pada makna yang lain pendatang asing tanpa izin; malam itu juga dipenjarakan oleh pihak polis. Meringkuk dalam penjara bersama bayi tersebut. Bayangkan perasaan itu. Si ayah pulak terpaksa menerima hakikat peraturan negara ini lalu dia bertungkus-lumus mencari orang yang sanggup menolong ibu keluar dari penjara; maksud aku ikat jamin.
Alhamdulillah dengan kuasa Allah ada seorang hamba Allah menolong menyelesaikan masalah ini dan akhirnya ibu dibenarkan keluar penjara. Demi membalas budi baik hamba Allah ini, ibu bekerja sebagai orang gaji di rumah beliau dan ayah bekerja dengan beliau sebagai tukang cat. Pada waktu inilah ayah mempelajari pelbagai kemahiran dan selok-belok kerja-kerja yang melibatkan pembinaan dan membaikpulih sesuatu. Hamba Allah ini menetap di Damansara, Selangor.
Tahun demi tahun, ayah mencuba nasib di pelbagai tempat di kawasan tersebut dan akhirnya menetap di Subang Jaya sehinggalah kini. Walaupun keluarga ini menerima kesukaran dalam melahirkan anak yang pertama tapi alhamdulillah mereka sehingga kini bahagia dengan mempunyai enam orang anak. Mereka semua membesar di kawasan tersebut. Zaman kanak-kanak, remaja, pahit getir hidup semuanya disitu.
Syukur Alhamdulillah dengan limpah kurnia-Nya keluarga aku hidup bahagia sekarang. Walaupun tak semampu orang lain tapi kami bersyukur dengan apa yang ada sekarang ni. Walaupun sudah ibu ayah dah menetap disini selama 20 tahun, kami masih lagi menyewa rumah, masih lagi tak mempunyai kereta, masih lagi hidup seperti di kampung walaupun tinggal di tengah bandar.
Ayah pernah berkata dekat anak-anaknya,
"Ingat anak-anak, ayah dulu orang susah. Terpaksa merantau ke Malaysia mencari rezeki. Ayah ibu tiada harta. Kau orang semua nilah harta kami. Kami mengharapkan yang terbaik untuk kau orang semua. Biar kita susah sekarang nanti senang kemudian hari. Ni ayah nak pesan, dalam hidup ni yang utama tu solat kerana solat itu tiang agama. ingat Tuhan. ingat siapa kita di bumi Allah ni. Lagi satu tuntutlah ilmu sampai ke liang lahad. Jangan sia-siakan hidup dengan tidak mempelajari sesuatu. Ayah dengan ibu bukannya selamanya hidup. Jadi belajarlah rajin-rajin dan jadilah orang yang berguna. Pergi mana-mana pun ingat Allah. ingat keluarga. Insyaallah hidup kita akan diberkati oleh Allah S.W.T."
Aku sedar diri aku siapa. Aku kecil je dalam dunia ni. Kalau difikirkan balik aku dah banyak buat dosa diatas muka Bumi ini. Terlalu banyak bak kata orang confirm neraka kalau tak taubat. Serba salah kerana keluarga meletak harapan yang tinggi dalam hidup. Tak tahu nak cakap apa. Aku cuma tahu pengalaman mendewasakan aku. Insyaallah pada suatu hari nanti terbukak hati aku dan menerima hidayah-Mu ya Allah. Jujur katakan aku solat pun rongak, Al-Quran pun jarang baca. Tapi aku tak tinggalkan semua tu kerana aku tahu satu hari nanti aku akan menjadi imam kepada keluarga aku sendiri. Sampai bila nak jadi bangkai bernyawa yang hanya berseronok di dunia tanpa memikirkan akhirat. Fikir-fikirkan dan selamat beramal.
Sekian.
Assalamualaikum w.b.t.